Baru-baru ini penulis telah berkunjung ke sebuah hospital yang terletak di sebuah negeri sebelah utara semenanjung kerana kurang sihat.
Di ruang menunggu hospital berkenaan, duduk seorang wanita dan nyonya tua yang sudah lanjut usia menanti giliran masing-masing untuk bertemu doktor bagi mendapatkan rawatan.
Seperti biasa, para pesakit harus menunggu giliran dalam tempoh yang agak lama sebelum tiba giliran mereka, maklumlah ‘hospital kerajaan’lah katakan…
Ketika itu, penulis tertarik untuk mengamati perbualan di antara wanita berbangsa Melayu dan nyonya tua itu kerana suara mereka agak kuat dan jelas berbanding pengunjung hospital yang lain.
Perbualan mereka berkisar mengenai kisah keluarga nyonya tua yang berumur sekitar 70’an itu.
Menurut nyonya yang tebal pelat Cinanya itu, dia mempunyai enam orang anak, tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan, yang kini kesemuanya memiliki sekurang-kurangnya satu kedai dan berjaya dalam perniagaan masing-masing.
Dia bercerita mengenai pengalaman membesarkan anak-anaknya itu kepada wanita tersebut.
Nyonya tua itu berkata, dia sangat garang ketika membesarkan anak-anaknya dan tidak sedikit pun memberi muka kepada mereka.
“Aku aaa..talak bagi anak-anak aku keluar malam-malam punya, kalau lawan cakap aku, siap la..aku balun dengan tali pinggang punya..,” katanya dengan nada yang agak kuat.
“Kalau aku cakap sikit hang jangan marah aaaa…,” sambung nyonya itu tiba-tiba.
“Cakap la..saya tak marah,” balas wanita tersebut melayan perbualan yang semakin rancak itu.
“Bukan apa aaa..itu aku tengok aaa…olang Melayu manyak talak pandai jaga dia olang punya anak. Depa biar saja anak-anak depa keluar aaa…malam-malam baru balik. Tak bagus wooo..
“Depa biar saja anak kawan dengan budak-budak jahat..depa campur aaa…nanti anak depa pun jadi jahat..itu suka makan dadah punya..kecik-kecik lagi dah jadi jahat…
“Lu cuba tengok anak-anak olang Cina, mana ada keluar malam-malam..talak jahat punya. Talak selupa itu macam budak-budak Melayu wooo..,”kata nyonya tua itu.
Sedang nyonya itu berleter mengenai sikap anak-anak muda berbangsa Melayu itu, gilirannya tiba dan dia terpaksa bingkas bangun untuk bertemu doktor dan meninggalkan wanita Melayu itu terpiga-piga dengan kata-katanya.
“Wa pegi dulu aaaa..cuba hang fikir apa wa cakap,” katanya sebelum masuk ke bilik rawatan.
Penulis dan beberapa individu yang mencuri dengar perbualan itu masing-masing berpandangan antara satu sama lain dan ada di kalangan kami yang tersenyum sambil mengangguk membenarkan kata teguran sinis nyonya tua itu.
Meskipun ‘pedas’ dan ‘pahit’, kami yang mendengar perbualan tersebut terpaksa mengakui kebenaran yang dikatakan nyonya yang kini memiliki 14 orang cucu dan empat orang cicit itu walaupun tidak semuanya tepat.
Bagaimana pula dengan para pembaca dan apa pula kata anda?
Bersetuju dengan kenyataan nyonya tua itu atau tidak?
No comments:
Post a Comment