CHUKAI – Kerja licik seorang bapa ayam menawarkan khidmat seks yang disasarkan kepada pekerja kapal terbongkar apabila dia dicekup bersama tiga wanita warga Thailand dipercayai pelacur dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Penghiburan, dekat sini, malam semalam.
Serbuan kira-kira jam 8.15 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu yang diketuai Ketua Turusnya, Asisten Superintendan Mohamed Kamil Abdul Jalil.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, bapa ayam yang ditahan berusia lingkungan 60-an sementara tiga amoi Siam tersebut pula berumur antara 20-an dan 30-an.
Menurutnya, serbuan itu susulan intipan dan risikan yang dilakukan selama sebulan di hotel tersebut manakala hasil siasatan juga mendapati bapa ayam berasal dari daerah ini yang ditangkap itu merupakan abang kepada pemilik hotel terbabit.
“Modus operandi kes ini ialah pelanggan yang berminat akan menghubungi suspek atau bapa ayam ini sebelum pelanggan tadi dijemput ke hotel. Pelacur pula akan dibariskan dalam satu barisan di suatu bilik di tingkat atas hotel ini dan pelanggan akan memilih pelacur mana yang digemarinya,” katanya.
Difahamkan, selepas dipilih pelacur akan membawa pelanggannya ke suatu bilik lain untuk memberi layanan seks.
Bayaran yang dikenakan antara RM100 hingga RM200 untuk layanan di bilik hotel dan jika di luar hotel bayaran yang dikenakan boleh mencecah RM300.
Kata Monoharan, ketika intipan dilakukan sebelum ini didapati terdapat empat wanita yang menjalankan kegiatan tidak bermoral itu, namun sewaktu serbuan hanya tiga daripadanya sahaja yang terdapat dalam hotel itu dan pemeriksaan juga mendapati ketiga-tiga amoi Siam itu mempunyai pasport dan masuk ke negara ini secara sah.
Pelanggan mereka pula kebanyakannya terdiri daripada pekerja kapal atau pekerja di pelantar minyak sama ada yang baru turun dari kapal mahupun sebaliknya.
Kesemua yang ditangkap dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan akan ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 372(b) Kanun Keseksaan kerana kerana terbabit dengan pelacuran.
No comments:
Post a Comment