KUANTAN – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga hilang dipercayai diculik tengahari semalam ketika keluar rumah untuk ke kedai telefon bimbit berhampiran rumahnya di Taman Tas, di sini.
Difahamkan, pelajar terbabit, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, keluar dari rumah bersama dua adiknya iaitu Siti Nurul Aishah dan Mohd. Shahmi Aiman masing-masing berusia 11 tahun kira-kira pukul 12 tengahari semalam.
Ibunya, Nor Mala Mohd. Lazin, 34, berkata, dia terkejut apabila mendapati kedua-dua anaknya itu pulang tergesa-gesa ke rumah sambil menangis.
”Saya yang tidak sedap hati terus bertanya kenapa mereka menangis sebelum terperanjat sekali lagi apabila diberitahu kakak Fatihah dilarikan orang,” katanya di sini hari ini.
Katanya, menurut anaknya Nurul Aishah, mangsa dilarikan dengan sebuah kereta berwarna gelap dan di dalam kereta tersebut terdapat seorang wanita bersama dua lelaki yang tidak dikenali.
Dia mendakwa, ketika mangsa bersama dua adiknya dalam perjalanan ke kedai itu, tiba-tiba kereta tersebut yang dipandu seorang wanita berhenti berhampiran mereka sebelum seorang lelaki yang duduk di belakang membuka pintu dan menarik Fatihah.
”Saya turut diberitahu kedua-dua adiknya itu sempat menarik kakak mereka namun gagal berbuat demikian,” katanya.
Kata Nor Mala, ketika kejadian dia berada di rumah dan telah dimaklumkan anaknya untuk ke kedai telefon tersebut yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka untuk membeli kad tambah nilai telefon bimbit.
Tambanya, dia dan keluarganya berasa amat sedih dan tertekan dengan kehilangan Fatihah dan bimbang dengan keselamatan anaknya itu.
”Fatihah anak yang baik, dia juga tidak akan ke mana-mana tanpa saya dan keluarga. Saya betul-betul risaukan Fatihah,” katanya.
Sementara itu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kes tersebut kira-kira pukul 4 petang semalam.
Katanya, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan dan menyiasat sama ada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan itu mengenali suspek atau tidak.
”Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan akan disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan di atas kesalahan menculik daripada penjaga yang sah,” katanya.
No comments:
Post a Comment