KUALA LUMPUR, 26 April - Pemerhati Misi Antarabangsa Pencarian Fakta Tentang Pilihan Raya (IFFMEM) mengutuk sistem pilihan raya di Malaysia kerana memberi masa berkempen terlalu singkat. Senator Bebas Australia, Nicholas Xenophon berpendapat, 10 hari tempoh kempen terlalu singkat berbanding negara lain yang memperuntukkan sekurang-kurangnya 21 hari. “Di Australia, calon bertanding diberikan sekurang-kurangnya 33 hari manakala di India dan Pakistan 90 hari,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, selepas pertemuan dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.
Pada pertemuan itu, Nicholas turut menyatakan kekecewaannya terhadap akses media di negara ini yang tidak bebas selain pembersihan senarai pemilih yang tidak diberi perhatian kerajaan.
IFFMEM turut disertai Senator Pakistan, Mir Hasil Khan Bizenjo; Dekan Kolej Undang-undang, Universiti Timur Filipina, Amando Valdez; dan Penyelaras Projek Serantau Yayasan Kebebasan Friedrich Naumann – FNF, Juliane Schmucker.
Hadir sama, Prof Madya Universiti New South Wales, Australia, Dr Clinton Fernandez; Pengarah Editor India Today, Mobashar Jawed Akhbar; Pengerusi Ikatan Ilmuan Indonesia Internasional, Dr Mohamad Nasir Tamara Tamimi dan wakil daripada Malaysia, Abd Malek Hussin, Pengerusi IFFMEM.
Kehadiran mereka atas jemputan Pakatan Rakyat untuk memerhati sistem pilihan raya dan akan menamatkan misi itu hingga Ahad ini. Delegasi ini dijangka membentang laporan kepada awam dua minggu akan datang.
No comments:
Post a Comment