KUALA LUMPUR: Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mengantung keanggotaan pengeluar formula menurunkan berat badan Datuk Dr Che Rozmey Che Din selama dua tahun selepas mendapati beliau melanggar Kod Etika Profesional di bawah Akta Perubatan 1971.
Presiden MMC Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, yang juga Ketua Pengarah Kesihatan, berkata inkuiri pada 16 Januari lepas mendapati Dr Rozmey bersalah atas pertuduhan terlibat dalam penjualan bahan didakwa mampu menurunkan berat badan, membungkus serta menyimpan bahan berkenaan, yang melanggar Seksyen 3.4 kod itu.
Dr Rozmey juga didapati bersalah mengiklan diri sendiri, sama ada secara langsung atau tidak langsung, bagi tujuan mempromosi kelebihan sendiri serta membabitkan diri dengan perusahaan komersial yang melanggar Bahagian 4.1 dan 3.4 Kod Etika Profesional.
Dr Rozmey tidak menggunakan haknya untuk merayu ke Mahkamah Tinggi seperti yang diperuntuk oleh Akta Perubatan 1971, dan hukuman itu berkuat kuasa dari 14 Mac 2012 hingga 14 Mac 2014, kata Dr Hasan dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata pengamal perubatan lain yang didapati bersalah mengabaikan tanggungjawab profesional ialah Dr Balayegaran MS (digantung setahun), Dr Chow Chong Chek (diberi amaran), Dr Ng Ah See (diberi amaran), Dr Roland Masing (digantung enam bulan), Dr N.M. Ananda Murthy (diberi amaran), Dr Chew Yoong Fong (diberi amaran) dan Dr Rajendra a/l Nadason (digantung dua tahun).
P/s: Berdasarkan maklumat iklan produk doktor ini di akhbar (hari-hari disiarkan), rasanya tidak payahlah Kementerian Kesihatan membeli ubat dari negara luar. Memadailah jika kementerian membeli produk daripada syarikat doktor ini. Bayangkanlah semua penyakit boleh sembuh dengan pengambilan produk kesihatan syarikatnya. Daripada menyembuhkan sakit jantung, diabetes, penyakit kulit kepada menyelesaikan masalah kecerdasan otak.
Itu soal penggantungaan keanggotaan MMC. Bagaimana pula dengan masalah pelanggaran etika pengiklanan produk kesihatan yang melibatkan syarikat doktor ini dan syarikat-syarikat lain? Walhal dakwaan sesuatu produk dapat merawat atau menyembuhkan sesuatu penyakit sudah jelas melanggar Akta-akta Ubatan (Iklan dan Jualan) 1956 (Pindaan 1983) dan Lembaga Pengiklanan Perubatan 1976.
No comments:
Post a Comment