BATU PAHAT – Sepasang suami isteri yang panik mencari anak hilang, terkejut dan bingung apabila anaknya ditemui dalam periuk di rumah mereka di Kampung Sri Ladang, Rengit, Jumaat lalu dalam keadaan tidak bernyawa.
Bayi malang berusia dua bulan itu, Asyraful Iskandar Mohd Noor, ketika ditemui polis, berada dalam periuk dalam kabinet dapur.
Bapa bayi itu, Mohd Noor Salleh, 58, berkata, pada hari kejadian jam 8 pagi, Iskandar tidur dalam buaian, malah dia sempat menjenguk anaknya sebelum keluar ke klinik.
"Pagi itu, sebelum ke Klinik Kesihatan Sri Merlong untuk ambil ujian tekanan darah, saya sempat menjenguk Iskandar.
“Bagaimanapun, sewaktu pulang ke rumah sejam kemudian, isteri kelam-kabut memberitahu Iskandar hilang dari dalam buaiannya," katanya.
Menurut Mohd Noor, isterinya, Zarinah Dahalan, 42, memberitahu, dia sedang membuai Iskandar dan bangun meninggalkan bayi itu seketika untuk memasak.
"Apabila isteri saya kembali ke buaian, dia lihat Iskandar tiada di situ," katanya.
Mohd Noor lantas memaklumkan kepada jiran untuk sama-sama mencari anaknya.
"Puas saya bertanya dengan semua jiran dan mencari Iskandar di merata-rata tempat, namun tidak berhasil.
"Setelah menemui jalan buntu, saya buat laporan berhubung kehilangan Iskandar di Balai Polis Rengit pada hari sama jam 11 pagi," katanya
Menurutnya, sepasukan anggota termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat kemudian tiba di rumah sebelum memeriksa setiap bahagian.
“Semasa pemeriksaan lanjut dibuat, polis menemui Iskandar dalam periuk yang diletakkan dalam kabinet di bahagian bawah ruang dapur.
“Ketika itu bayi kami sudah meninggal dunia. Mayat Iskandar dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, beliau mengesahkan kejadian berkenaan.
“Berdasarkan bedah siasat pada mayat Iskandar, tiada kesan mencurigakan ditemui dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut,” katanya.
Dalam pada itu, Zarinah ketika ditemui Sinar Harian masih lagi trauma dan enggan ditemu ramah. Iskandar, anak bongsu pasangan berkenaan mempunyai seorang lagi abang berusia 15 tahun, namun dia tidak berada di rumah pada masa kejadian
kerana berada di sekolah.
Jenazah Iskandar selamat dikebumikan pada keesokan harinya
No comments:
Post a Comment