Kes suami syak isteri (gambar) adalah lelaki....
[SH] KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas dekan untuk membatalkan permohonan injunksi dan bantahan awal kes faraq isteri ketiganya, Sri Wani Choo Abdullah.
Hakim Syarie Abd. Walid Abu Hassan memutuskan demikian selepas peguam Muhammad Hafiz Abd. Rashid, yang mewakili Bahrom Sanugi, memberi alasan penyampaian tidak teratur dan kegagalan oleh pemohon untuk hadir di mahkamah.
Turut tidak hadir ialah peguam Boestamam Ahmad yang mewakili Sri Wani.
Keputusan itu selaras dengan peruntukan Seksyen 121 (1)(c) Tatacara Mal Mahkamah Syariah 1998 yang membenarkan mahkamah untuk membuat sebarang keputusan sekiranya pemohon tidak hadir.
Menurut Muhammad Hafiz, sepatutnya pemohon menyerahkan pindaan injunksi pada 19 April dan 3 Mei untuk pihaknya menjawab.
"Namun kami tidak terima dokumen asal dan pindaan, selain itu kami langsung tidak dapat notis tentang ketidakhadiran pemohon hari ni," katanya.
Merujuk kepada bantahan awal, pemohon telah gagal menyerahkan dokumen berkaitan, sebaliknya peguam berkata, dia hanya menerima sekeping dokumen pada 28 April lalu.
Oleh itu, responden memohon untuk membatalkan kedua-dua permohonan.
Sementara itu, di luar mahkamah, Muhammad Hafiz berkata, bantahan awal yang ditolak itu adalah berhubung kes faraq yang difailkan Bahrom.
"Bantahan itu selepas Sri Wani memberi alasan dia telah memperoleh sijil cerai di Majlis Agama Islam Narathiwat sebelum ini, jadi tiada sebab untuk kes faraq diteruskan," katanya.
Namun jelas peguam, oleh kerana bantahan ditolak, maka kes faraq berjalan seperti biasa dan pada 19 Jun ini hanya menunggu mahkamah mengeluarkan perintah ke atas Sri Wani sama ada perlu menjalani DNA atau tidak.
Dalam pada itu, Muhammad Hafiz turut memaklumkan bahawa Sri Wani telah menghantar surat tuntutan kepadanya supaya memohon maaf dan ganti rugi RM1 juta kerana didakwa memfitnah Sri Wani sebagai pondan di media.
"Saya akan membalas surat tuntutan itu dan kenyataan saya ialah langsung tidak memfitnah mana-mana pihak, saya cuma bagi ulasan apa yang berlaku dalam prosiding mahkamah," katanya.
Sri Wani berkahwin dengan Bahrom, 61, di Songkhla, Thailand pada 19 Ogos 2009.
Namun setahun kemudian, Bahrom memfailkan permohonan membatalkan pernikahan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur apabila mengesyaki Sri Wani seorang lelaki, berdasarkan penemuan surat beranaknya.
Jabatan Agama Islam Daerah Gombak pada 23 November 2010 mengarahkan supaya mereka berpisah sementara dan susulan itu pada 17 Januari lalu, Bahrom memohon perintah supaya mahkamah mengarahkan Sri Wani menjalani ujian DNA.
No comments:
Post a Comment