Bunuh Adik Sendiri Kerana TV. Perebutan siaran televisyen antara dua beradik di Kampung Telaga Papan, Kemaman malam kelmarin membawa padah apabila si adik ditikam mati oleh si abang.
Ahmad menunjukkan lokasi kedua-dua anaknya bergelut sehingga menyebabkan si adik mati ditikam di Kampung Telaga Papan, Kemaman kelmarin. |
Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 8 malam itu ialah Abdul Hisham Ahmad, 23.
Sebelum tragedi itu, Hisham dan abangnya yang berusia 37 tahun itu dikatakan sudah berselisih faham kerana berebut sebuah motosikal.
Pergaduhan itu bertambah buruk apabila dua beradik itu kemudian berebut siaran televisyen. Ketika bergaduh kedua-dua beradik itu kemudian bergelut menyebabkan si abang didakwa mencapai satu objek tajam dan menikam bahagian badan mangsa.
Isteri mangsa, Ruhil Amani Shaharuddin, 17, berkata, abang iparnya itu memarahi suaminya yang ketika itu sedang menonton televisyen kerana televisyen tersebut dibeli oleh abang iparnya.
“Ketika itu saya baru selesai sembahyang Maghrib dan saya lihat suami dan abang ipar bergelut. Saya kemudian minta tolong bapa mertua meleraikan pergelutan tersebut,” cerita Ruhil ketika dihubungi.
Berikutan itu, Ruhil memberitahu, bapa mertuanya, Ahmad Din, 59, yang semasa kejadian berada kira-kira dua meter dari tempat kedua-dua beradik itu bergelut memarahi abang iparnya.
No comments:
Post a Comment