Nak Duit? Klik Di Sini Cepat..
Wednesday, February 29, 2012
Saya Nak Kahwin, Tetapi Tiada Calon, Apa Nak Buat Ya?
Mungkin anda pernah mendengar keluhan seperti tajuk artikel ini dari kawan-kawan anda atau mungkin anda sendiri pernah meluahkannya? Dalam artikel kali ini kita ingin membincangkan sendikit tentang hal ini.
Terdapat beberapa perkara yang boleh kita rungkaikan dari kenyataan tersebut. Biasanya orang meluahkan kenyataan tersebut setelah ditanya “Bila mahu kahwin?”. Ramai yang memberikan jawapan seperti di atas sebagai jawapan pantas supaya tidak panjang cerita. Hakikatnya dirinya sendiri yang belum bersedia menerima kehadiran seorang calon pasangan hidupnya.
Jika begitulah keadaannya maka tiada sesiapa dapat membantu. Diri sendiri perlu diperbetulkan dan dianalisis kembali. Tanya kepada diri apakah perkara yang belum dilengkapi untuk bersedia menerima seseorang sebagai pasangan hidup. Lengkapkan ia dengan segera dan carilah calon. Adakala perkara itu bukan perkara besar, ia hanyalah disebabkan hati yang terlalu mengidamkan kesempurnaan. Berlembutlah, berbicaralah dengan hati supaya lebih terbuka dalam memilih calon.
Tidak Pernah Couple
Antara faktor yang menyebabkan seseorang itu tiada calon pasangan ialah kerana beliau tidak pernah couple. Ini adalah hal yang baik, Islam tidak menuntut umatkan supaya berdua-duakan dengan pasangan yang bukan mahram. Namun sehingga satu saat kita perlu berubah. Berubah untuk mula mencari pasangan hidup. Bukan mencari kekasih semata-mata. Carilah dengan cara yang diajar dalam Islam. Intai dan jengok-jengoklah seseorang yang bagus agamanya, baik akhlaknya dan terasa selesa seandainya bersama. Sapa dirinya dengan baik atau minta pihak ketiga membantu. Setelah senang dengan caranya, nyatakan hasrat hati. Andai terikat, Alhamdulillah. Jika terlerai, syukur juga kepada Allah kerana mungkin terdapat insan yang lebih baik untuk kita.
Putus Cinta
Ramai orang yang mengalami masalah ketiadaan calon adalah kerana putus cinta dengan kekasih lama. Sesetengah orang bukan putus cinta sekali, tetapi berkali-kali. Dalam keadaan ini seseorang itu mungkin akan hilang kepercayaan kepada dirinya sendiri dan tidak mahu dikecewakan kali kedua. Beliau tidak berani menaruh harapan lagi.
Adakala kita melahirkan rasa kecewa untuk menzahirkan rasa itu kepada si dia. Sebenarnya tiada sesiapa yang rugi dengan sikap kita itu melainkan kita sendiri. Atas dasar apa kita tidak mampu melupakan kekasih lama? Jawapannya kerana kita mencintainya kerana dirinya semata-mata tetapi bukan kerana Allah. Seharusnya cinta yang dipupuk ditautkan kepada Allah, barulah kita sentiasa bahagia samada bersama atau berpisah.
Bersihkan hati, perbetulkan niat dan teruslah mencari calon dengan niat untuk hidup bersama, bercinta dan berbahagia kerana Allah.
Sejarah Silam
Dalam sesetengah keadaan, seseorang individu itu mungkin pernah bercinta, pernah bertunang, pernah berkahwin dan mungkin juga pernah berkahwin berkali-kali tetapi hampir semuanya menghampakan. Kini dirinya sendirian kembali sehingga kadang-kadang terdetik di hatinya “Lelaki/perempuan semuanya sama! Tidak boleh dipercayai, tidak berguna & tidak boleh diharap!”.
Hakikatnya bukan begitu. Tetapi sayangnya kita sendiri yang mencari orang yang berpewatakkan sama. Seharusnya kegagalan kali pertama membuatkan kita lebih pandai untuk menilai dan memilih yang lebih baik. Tetapi kerana kita menyukai ciri-ciri wanita atau lelaki idaman yang sama sepertimana pasangan kita yang lama, maka kita memilih orang yang salah berkali-kali. Sabda Rasulullah, “Pilihlah yang beragama & kamu akan berbahagia!”.
Kekurangan Diri
Tiada calon bagi sesetengah orang bukan kerana beliau tidak menyukai sesiapa, tetapi tidak berani menyatakan hasrat hati kepada orang yang disukai kerana kekurangan diri. Boleh jadi kekurangan itu kerana pendapatan, mungkin juga kerana sedikit kecacatan, sejarah silam yang hina, rupa yang kurang menawan dan seumpamanya.
Ya, tidak semua orang bernasib baik dan miliki semua sifat yang disukai orang lain. Namun itu tidak bermakna orang-orang ini tidak layak mengecapi bahagia sebagaimana orang lain. Kebahagiaan itu perlu dicari dan diusahakan. Bukan hanya dengan berharap. Usah berputus asa, teruskan usaha mencari insan yang sesuai. Allah akan sentiasa membantu.
Selepas ini usah berkata “Tiada calon!” tetapi katalah “Sedang mencari calon!”. Jika berkata tiada calon, maka orang agak sukar menghampiri kita kerana kenyataan itu menggambarkan seolah-olah kita terlalu memilih. Sebaliknya kenyataan sedang mencari calon itu membuka ruang kepada orang ramai untuk lebih mendekati kita. Jika tidak menemui orang yang menawarkan diri, InsyaAllah akan berjumpa dengan orang yang sudi membantu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment